Contact

Level 11 Menara KEN TTDI,

60000 KL, Malaysia

​​

Tel: +60.12281.1136

we@ireach.my

  • Black Facebook Icon
  • Black Twitter Icon
  • Black Instagram Icon
  • Black YouTube Icon

Cari Duit Banyak-Banyak, Bukan Boleh Bawa Masuk Kubur Pun

  • Selalu kita dengar tazkirah para ustaz "duit banyak nak buat apa?" kan?

  • Ini sebabnya saya tidak berapa setuju dengan pandangan sebegini.

Antara maghrib & Isyak adalah waktu yang paling sibuk bagi saya.


Pertama, perlu ambil anak #3 pulang dari KAFA. Sepatutnya jam 6.40pm sudah boleh pulang. Tapi dia ni minta extend sampai ke lepas Maghrib untuk mengaji bersama ustaz/ustazah.


Benda baik, kita layankan saja.


Kedua, perlu bergegas anak #1 & #2 ke pusat tuisyen. Kisah mereka ke tuisyen ni pun sama kelakar. Daripada berat nak ke kelas bertukar jadi yang paling bersemangat. Sebab ada banyak kawan-kawanya di sana.


Pun sama, kita layankan juga.


Yang penat, kita sebagai mak/ayah lah. Selesai saja solat maghrib, berkejar ambil anak pulang dari KAFA. Kemudian, bergegas pula ke pusat tuisyen sebelum kelas bermula jam 8.00pm.


Sudahlah waktu maghrib sekarang ni lewat. Dekat 7.30pm baru Azan, 7.40 baru Iqamah & 7.50 baru imam selesai beri salam. Bakinya tinggal 10 minit lagi untuk memecut selesaikan urusan anak-anak.


Akibatnya, tak sempatlah nak duduk mendengar tazkirah antara waktu Maghrib & Isyak.


Namun begitu, Ahad yang lepas Allah berikan sedikit kelapangan. Anak-anak pun tidak bersekolah & kami pun tidak ke mana-mana seperti kebiasaan waktu itu. Saya pun ambil peluang untuk duduk & mendengar tazkirah.


Pada waktu itulah saya mendengar ustaz yang berikan tazkirah berkata soal harta. Antara intipatinya,

  1. Orang sekarang cuma tamak mengumpul duit.

  2. Nak buat apa duit banyak-banyak. Nak bawa masuk kubur?

  3. Bersyukurlah dengan rezeki yang dah ada tu.

Selalu sangat kan kita ditarbiah dengan nasihat-nasihat agama sebegini kan? Walaupun saya pasti niat ustaz yang berceramah hari itu sangat murni; supaya kita tidak sesekali melupakan akhirat dalam pada mengejar dunia, namun penyampaiannya bakal mengundang banyak salah faham.


So, saya tidak berapa setuju.


Ini antara sebabnya,


Pertama, pendapatan seisi rumah RM7,640 sebulan; yang dahulunya dianggap sudah cukup lumayan, kini sudah tergolongan dalam golongan B40 atau 40% penduduk termiskin di Kuala Lumpur. Agak-agak etnik mana yang memenuhi golongan B40 ini? Rata-rata adalah bumiputera yang kebanyakannya juga muslim.


Kalau sudah menjadi 40% rakyat paling miskin, bagaimana pula suasana kerja mereka? Adakah mereka sibuk bekerja untuk kumpul duit sejuta dua sampai boleh bawa masuk ke kubur bersamanya? Sudah tentu tidak. Hakikatnya, selepas pagi petang siang malam bekerja, lebihan gaji RM7,640 tadi tinggal RM76 sahaja sebulan.


Nah, mungkin kita akan cakap "lebihan cuma tinggal RM76 saja itu berpunca daripada sifat boros belanja berlebihan". Ada betulnya pendapat sebegini. Tapi juga ada benarnya, lebihan RM76 tadi hanya selepas berbelanja keperluan asas sekeluarga saja. Tiada belanja tengok wayang atau makan di luar pun.


Hakikatnya, kos sara hidup sangat tinggi zaman sekarang.


Sehingga terpaksa bekerja lebih masa & buat bisnes sampingan.


Alhamdulillah, saya dikurniakan rezeki untuk ke Masjid. Namun, ada orang lain di luar sana yang tak dapat penuhi tuntutan ni atas kekangan masing-masing. Walaupun sebenarnya nak sangat solat berjemaah di Masjid.


Contohnya, pemandu teksi yang terjerat dalam kesesakan lalulintas. Tidak boleh nak berhenti tepi di Masjid jika masih membawa penumpang lain dalam kereta. Tambahan pula, pendapatan pemandu teksi banyak berkurang sejak kehadiran Grab. Mereka juga tersepit dalam situasi yang diluar kawalan.


Apa betul mereka kerja keras untuk bawa duit masuk kubur? Tidak kan?


Mereka perlu kerja lebih masa hanya untuk keperluan asas hidup.


Sebab itu saya kurang selesa dengan sifat suka menghukum mereka yang bertungkus lumus bekerja; keluar pagi, balik malam & buat macam-macam bisnes sampingan dengan tuduhan "mata duitan" atau "mengejar dunia" atau "duit banyak-banyak nak buat apa?".


Bukan itu kehidupan yang mereka mahukan. Tapi apakan daya, mereka terpaksa bertindak sebegitu demi memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang ayah, emak & anak.


Bukankah lebih molek sekiranya dalam tazkirah para ustaz diselitkan,

  1. cara tingkatkan produktiviti supaya kita punya lebih masa bersama Tuhan (solat berjemaah, etc).

  2. tips mengurus kewangan supaya bertambah lebihan gaji untuk Infaq dalam Islam.

  3. teknik berniaga sampingan supaya berpeluang membantu orang lain yang kurang bernasib baik.

Lebih positif, lebih realistik & lebih praktikal, bukan?


Lebih tidak selesa bila sesetengah penceramah bukan main menekankan soal "jangan kejar duit" etc, tapi habis saja tazkirah "mohon sumbangan untuk....". Macam mana para pendengar nak dermakan duit, jika dari awal sudah dimotivasikan untuk jangan berduit?


Lagipun, Islam suruh kita kaya & beriman.


Para sahabat ramai yang berniaga & kaya-raya. Baik Abu Bakar & Umar al Khattab, apetah lagi Uthman Ibn Affan & Abdurrahman Ibn Auf. Bila berduit & beriman, lebih mudah untuk mereka beribadah & seterusnya berjuang dengan Islam.


Belum pernah saya dengar hadith Nabi Muhammad SAW berpesan pada sahabat-sahabatnya,

"Sudah-sudah lah cari rezeki tu Abu Bakar oi. Mai solat kat Masjid saja cukop."

Disclaimer siap-siap: saya bukan anti sesiapa, sama ada ahli agama atau golongan profesional. Saya cuma tidak setuju dengan pendapat yang saya kira kurang tepat. Dan sebagai ahli agama, saya berpendapat, para ustaz perlu berpijak di bumi yang nyata. Fahami statistik & situasi para penganutnya.


Kemudian berkongsi dalam tazkirah masing-masing.


Baru boleh tarik minat muslim untuk duduk mendengar.